Wednesday, September 7, 2011

Ibubapa bukan liabiliti..

Inilah cerita benar. Cerita benar seorang penulis yang Berjaya. Beginilah

kisahnya...


Entahlah apa yang selalu bermain pada fikiran ayah. Apabila saya ingin


pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak....


" Ada duit? Minta ayah sedikit.."



Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat


seratus ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah. Kalau balik


kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujurlah, isteri


dan anak-anak saya sudah faham. Alhamdulilah mereka 'sporting' dan tidak


banyak meragam.



"Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi saya memang tak ada


duit," Bisik saya kepada emak. Emak seperti biasa, berwajah selamba, sukar


ditembak reaksinya.



" Bagilah beberapa yang ada," cadang emak pendek.


"Takkan 5 ringgit?"



Emak mengganguk.


Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yang boleh


dibeli dengan wang 5 ringgit....Tapi kerana tidak mahu menghampakan harapa


ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.



Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan


ialah apabila kami sekeluarga berada dalam perut bas dalam perjalanan pulang


ke kota. Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa yang


bagi kalau bukan ayah? 10 tolak 5, saya masih 'untung' 5 ringgit. Geli hati


mengenangkannya.



Begitulah selalunya tahun demi tahun. Apabila kami pulang ziarah ke kampung,


saya akan memberi pemintaan ayah. Kengkadang terlupa, tetapi ayah akan


selalu mengigatkan. Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas untuk


diberikan kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ekonomi saya


yang masih goyah kekadang hanya mengizinkan wang dua ringgit untuk diberikan


kepada ayah. Ironinya, ayah tetap dengan pemintaannya dan tetap tersenyum


apabila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba.


Saya masih sukar menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam


memahami hati suaminya (ayah).



Begitupun setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi


sasaran. Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan


setiap memasukkan duit yang melebihi jumlah saya berikan kepadanya. Saya


tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat disebalik


perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana 'tidak ada',


tetapi dia ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau


disampaikannya.



Namun, secara bertahap-tahap buku tulisan saya semakin mendapat sambutan.


Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin


membesar. Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan bas, tetapi selepas


beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat


komen ayah ketika saya pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.



"Nanti, besarlah kereta kamu ini...." ujur ayah senyum.



Apapun saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali pulang ke kampung.


Wang saya dahulukan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada


sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.



" Eh tak payahlah ayah..." sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi


keluarga sudah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun


perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya


ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu, tetapi sengaja atau tidak ingin


saya merasa segan, duit diberi melalui anak.



"Kenapa, dah kaya?" usik ayah. Hendak tak hendak, duit dikocek anak tetap


diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi 'dikebas' oleh


saya. Dan dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yang saya


berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu diselitkan ke kocek


anak saya. Tidak semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak saya


sentiasa melebihi duit pemberian saya kepadanya.



Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta!. Di


samping menulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh


sebab bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya sudah


membeli MPV utuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara gading.


Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun sibuk sekalipun


saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya ayah tetap memberi kepada


anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yang berjaya.


Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan kami,


tetapi dia MEMBERI KERANA ALLAH. Mencontohi Allah al-Wahhab itu!



Anda ingin tahu apa pesan penulis itu kepada saya? Ya, mari kongsi bersama :



" Kini aku benar-benar faham bahawa ibu ayah yang tua bukan beban dalam


kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi dalam kehidupan di akhirat. Mereka


bukan 'liabiliti' tetapi sebenarnya aset untuk kita (walaupun istilah itu


sebenarnya kurang atau tidak tepat kerana ibubapa bukan benda). Rugi betul


siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.



"memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri. Walaupun


itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan


pulang kepada kita semula. DOA MEREKA MUSTAJAB. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w, keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa."



Baiklah, inilah sebenarnya rahsia 'perniagaan' yang jarang-jarang


diperkatakan oleh tokoh korporat. Juga tidak pernah ditulis dalam mana-mana


buku perniagaan. Masih punya ibubapa? MEMBERILAH KEPADA MEREKA. Tidak ada?


Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga? Memberilah kepada sesiapa sahaja. Kita sentiasa berfikir untuk memberi. Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri kita sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi !

No comments:

Post a Comment